Wednesday, 26 August 2015

Syair Definisi Orang Berakal

SYAIR DEFINISI ORANG BERAKAL

Orang berakal sangatlah mulia,
Pakaian anbia dan aulia,
Barang siapa mengikut dia,
Itulah tanda orang bahagia.

Kerana ia akalnya tajam,
Menjadi kepala bela bermacam,
Jikalau mata melihatkan kejam,
Disebutlah jalannya ia tersunjam.

Telek pandangan dengan makrifat,
Sangatlah mengasihi tuan dan sahabat,
Tiada mengasihi orang yang jahat,
Takut akhirnya menjadi fazihat.

Sebagai lagi tanda berakal,
Perintah syarak tidak menyangkal,
Menjauhkan tamak hendak tawakal,
Ibanya tahu dunia tak kekal.

Jikalau ia dikasihi raja,
Tiadalah ia melanja-lanja,
Tiadalah menyombong pada bekerja,
Dengan taulannya bersamaan sahaja.

Apabila raja kasih sangat,
Makin itu makin ia ingat,
Segala taulannya hatinya dihambat,
Merendahkan diri serta berkhidmat.

Demikian lagi dengar olehmu,
Tanda berakal kasihkan ilmu,
Suka mentelaah tiadalah jemu,
Mencari kupasan jangan tersemu.


ABU HASSAN SHAM (Penyelenggara)

Maksud Setiap Rangkap~~

Rangkap 1: 
Manusia yang berakal diapndang mulia,malah golongan anbia dan aulia amat mementingkan ilmu dan seseorang yang mencontohi golongan itu akan memperoleh kebahagiaan.

Rangkap 2: 
Golongan anbia dan aulia yang berilmu menyebabkan mereka dipilih sebagai ketua dan menegakkan keadilan. Sesiapa yang mentafsirkan golongan tersebut sebagai kejam maka dia akan mendapat balasan.

Rangkap 3: 
Orang yang berakal berpandangan jauh. Dia akan bersahabat dengan orang yang baik sahaja, sebaliknya akan mengenetepikan orang yang jahat kerana takut terpengaruh dengan sikap negatif mereka.

Rangkap 4: 
Orang yang berakal juga patuh kepada perintah Allah S.W.T. dan mengikut hukum syarak. Selain berserah kepada Allah S.W.T. , mereka juga tidak bersikap tamak kerana mereka sedar bahawa dunia ini tidak akan kekal.

Rangkap 5: 
Orang yang berakal disayangi oleh golongan atasan, namun mereka tidak bersikap mengada-ngada, tidak sombong dan menganggap status mereka sama sahaja dengan rakan taulan.

Rangkap 6:
Jika pihak atasan memberikan perhatian yang lebih kepadanya, mereka sentiasa berwaspada.Malahan mereka sentiasa akan berusaha merapatkan hubungan mereka dengan rakan-rakan, merendah diri dan sedia berkhidmat.

Rangkap 7: 
Orang yang berakal tidak bosan dalam mengejar ilmu pengetahuan dan sentiasa membuat penelitian untuk mencari jawapan agar tidak terpedaya

TEMA~~
Bertemakan tentang ciri-ciri orang yang mempunyai akal fikiran....

Persoalan~~~
Orang yang terbaik merupakan orang yang berakal...
Orang yang berakal bersimpati terhadap orang lain...
Orang yang berakal taat kepada agama...
Orang yang berakal tidak bersikap sombong....

Nilai~~~

Nilai Berilmu.
Contohnya, kehormatan yang diperoleh orang yang berakal dan berilmu.

Nilai Reda 
Contohnya, sentiasa reda atas apa yang berlaku

Nilai Merendah Diri. 
Contohnya, seseorang itu akan sentiasa merendah diri walaupun dipuji dan dikasihi orang lain.


Pengajaran~~~~~
Setiap orang hendaklah mencari ilmu.
Janganlah kita mendekati orang yang jahat.
Kita hendaklah sentiasa berbaik-baik dengan sahabat kita.
Kita haruslah sentiasa merendah diri.

Bentuk Syair~~
-"Syair Definisi Orang Berakal" terdiri daripada tujuh rangkap...
- Bilangan kata dalam setiap rangkap adalah sama, iaitu empat baris serangkap...
-Bilangan kata dalam setiap baris hampir sama,iaitu antara tiga hingga lima patah kata sebaris...
-Bilangan suku kata dalam setiap baris ialah antara sembilan hingga tiga belas suku kata sebaris....
-Rima akhir syair ini ialah aaaa....

No comments:

Post a Comment